5 Kesalahan Biasa Penunggang Motosikal di Malaysia
Penunggang motosikal merupakan antara pengguna jalan raya paling ramai di Malaysia. Namun, dalam kelaziman menunggang, masih ramai yang melakukan kesalahan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. Adakah anda salah seorang daripada mereka?
Berikut ialah 5 kesalahan biasa yang sering dilakukan oleh penunggang motosikal di Malaysia:
1. Tidak Memakai Gear Keselamatan Lengkap
Ramai penunggang hanya memakai helmet ketika menunggang, namun sering mengabaikan jaket pelindung, sarung tangan dan kasut bertutup. Dalam situasi kemalangan, pakaian keselamatan ini sangat penting untuk mengurangkan risiko kecederaan serius seperti luka, lebam atau tulang patah.
2. Potong Barisan Semasa Jalan Sesak
Tindakan mencelah atau ‘cilok’ tanpa memberi signal dan tanpa ruang yang mencukupi bukan sahaja menyusahkan dan menjengkelkan pengguna jalan lain, tetapi juga meningkatkan risiko kemalangan serius yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang lain di sekeliling
3. Tidak Menghidupkan Lampu Signal
Tindakan menukar lorong atau membelok tanpa memberi isyarat sering dianggap perkara kecil, namun hakikatnya ia amat berbahaya. Pada waktu malam, risiko kemalangan meningkat kerana penglihatan terhad dan pengguna jalan lain tidak dapat menjangka pergerakan kenderaan anda.
4. Menggunakan Telefon Semasa Menunggang
Perbuatan seperti menaip mesej, menjawab panggilan atau membuka aplikasi seperti Waze semasa kenderaan sedang bergerak boleh mengalih perhatian pemandu. Tindakan ini meningkatkan risiko kemalangan kerana fokus terhadap jalan raya telah terganggu walaupun hanya beberapa saat.
5. Pemeriksaan Motosikal Tidak Konsisten
Ramai penunggang mengambil mudah hal penyelenggaraan asas seperti minyak hitam, tayar yang haus, brek longgar dan rantai kendur. Jika terus diabaikan, masalah ini boleh menyebabkan kerosakan semasa menunggang dan membawa kepada kemalangan yang membahayakan nyawa.
Keselamatan di jalan raya bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi bermula dengan sikap kita sebagai penunggang.
Jadi, daripada 5 kesalahan di atas — yang mana anda paling selalu lakukan, dan apa yang akan anda ubah hari ini?